Untuk renungan pagi
|
Untuk renungan pagi
|
My grandma.

1 Muharam detik permulaan
Perkiraan tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan umat Islam
Dari Kota Mekah ke Kota Madinah
Atas keyakinan dan iman yang teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar bersatu
Rela berkorban harta dan nyawa
Demi menegakkan Islam tercinta
Hijrah itu pengorbanan
Hijrah itu perjuangan
Hijrah itu persaudaraan
Hijrah membentuk perpaduan
Oleh itu, mari semua
Kita sambut Maal Hijrah
Tingkatkan semangat tegakkan syiar islam
Untuk sepanjang zaman
Untuk sepanjang zaman
Untuk sepanjang zaman…!!
p/s: teringat mase sekolah rendah dulu, pertandingan nasyid peringkat zon... menyayat hati tul lah
Peringatan untuk diri sendiri dan juga kawan-kawan semua
TAZKIRAH DI HARI SEGALA IBU HARI
Antara Sabar & Mengeluh
Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di
Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang
bersinar dan berseri wajahnya.
"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita
itu,tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih
hati."
Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya,
"Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh
perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang
menyekutuinya aku dalam hal ini."
Abu Hassan bertanya, "Bagai mana hal yang merisaukanmu?"
Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih
kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh
bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat
makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai
adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing
?"
Jawab a diknya, "Baiklah kalau begitu ?"
Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu.
Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan
lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya &n bsp;
pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan
bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke
periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah
air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini
terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain,
maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal
sebatang kara di antara mereka semua."
Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua
musibah yang sangat hebat itu ?"
Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara
sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan
yang berzeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu
baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak
mendapat ganti yakni sia-sia belaka."
Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di
mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh
setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena
musibah dan dugaan dari Allah.
Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah
hadith Qudsi,:
" Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya
dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."
Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan
hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,: " Tiga macam
daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan
menghina nasab orang."
Dan sabdanya pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan
orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan
memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)
Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi
segala musibah.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“MENGHARGAI ZAMAN MUDAMU”
(22 MEI 2009 / 27 JAMADIL AWWAL 1430)
Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, di samping kita mempertingkatkan usaha dalam mendidik anak-anak dan ahli keluarga agar menyempurnakan kewajipan masing-masing. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah s.w.t. di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “MENGHARGAI ZAMAN MUDAMU”.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Setiap negara pasti mengharapkan untuk mempunyai rakyat yang mampu menyumbang ke arah kemajuan, kejayaan dan keamanan. Semua itu hanya dapat dicapai dan diperolehi jika rakyat negara itu mempunyai sahsiah dan jati diri yang unggul serta cemerlang; sama ada melalui generasi muda belia atau pun generasi tua.
Kementerian Belia dan Sukan mentakrifkan belia sebagai golongan muda yang berumur antara 15 hingga 25 tahun, dan ia selaras dengan takrif yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Manakala Islam pula mentakrifkan belia sebagai satu fasa umur alam baligh yang menerima tanggungjawab (taklif) atas setiap perbuatan yang dilakukan. Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah golongan belia di negara ini pada tahun 2008 mencecah seramai 16 juta orang. Angka ini memberi gambaran bahwa negara akan menghadapi cabaran hebat dalam aspek pembinaan dan pengurusan belia di masa hadapan.
Belia adalah harta yang amat berharga serta tonggak dan kekuatan masa depan negara. Mereka juga adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat di masa hadapan. Justeru itu adalah perlu golongan belia ini diasuh, dididik dan dibimbing ke jalan yang benar dan diredhai Allah s.w.t. sehingga mampu menjadi generasi yang boleh diharapkan dan dibanggakan iaitu belia yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia. Inilah yang menjadi cita-cita negara kita untuk mempunyai belia yang berkualiti sebagaimana yang diharapkan melalui tema sambutan Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini iaitu Belia Berwawasan Penggerak Kejayaan.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Persoalan besar timbul ialah ke manakah hilangnya wawasan belia hari ini? Saban hari kita masih mendengar berita-berita yang tidak baik tentang segelintir belia, dan hanya beberapa cebis kisah kejayaan dan kecemerlangan yang telah diraih oleh mereka. Kes-kes salah laku jenayah sivil, jenayah syariah, masalah disiplin dan adab sering dikaitkan dengan belia. Hal ini tentunya mengundang rasa rungsing dan gusar di kalangan ibu bapa, masyarakat dan pemimpin negara. Justeru Rasulullah s.a.w. berpesan kepada semua golongan belia agar dapat memanfaatkan umur dan masa muda dengan sebaik-baiknya.
Imam Hakim telah meriwayatkan bahawa Ibnu Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ شَبَابُكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَصِحَّتُكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَغِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَفَرَاغُكَ قَبْلَ شَغْلِكَ وَحَيَاتُكَ قَبْلَ مَوْتِكَ
Mafhumnya: “ Rebutlah lima perkara sebelum kamu di datangi oleh lima perkara lain. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati.”
Berdasarkan hadith tadi, jelas bahawa belia yang cemerlang adalah mereka yang memanfaatkan masa dengan betul seperti dengan usaha menuntut ilmu, berbuat kebaikan dan paling penting memantapkan diri dengan iman dan taqwa. Dengan iman dan taqwa, jati diri belia dapat dipertingkatkan dan menjadi mantap. Mereka tidak mudah goyah dan goncang oleh pengaruh anasir-anasir dan gejala-gejala yang merosakkan jiwa, minda, akidah dan akhlak seperti penyalahgunaan dadah, alkohol, zina, lumba haram, ajaran sesat, dan sebagainya.
Antara faktor yang dikenalpasti sebagai punca berlaku penyelewengan akidah dan berkembangnya gejala sosial adalah kurang didikan dan penghayatan agama di kalangan belia akibat pengaruh persekitaran. Apa yang penting, belia hendaklah mengisi diri dengan ilmu agama dan pelbagai ilmu serta kemahiran hidup di samping berusaha menjadikan diri sebagai hamba yang soleh, generasi yang berkualiti, umat yang cemerlang berlandaskan ajaran Islam yang sebenar.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Islam telah menggariskan peranan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sebagai seorang belia muslim yang bersifat teguh iman, taat perintah Allah dan Rasul, mengasihi dan menjejaki sunnah Rasul-Nya dalam setiap cara hidup, baik urusan dunia mahupun akhirat.
Selain itu, para belia juga adalah bertanggungjawab mentaati Raja dengan mematuhi titah perintahnya selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Paling penting juga, kepatuhan dan ketaatan belia kepada kedua-dua ibu dan bapa.
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Israa’ ayat 23:
Maksudnya: “ Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”
Dalam hal ini kita juga dituntut untuk berbakti, mengasihi, menghormati serta sentiasa menyenangkan hati kedua ibu bapa dengan memelihara tingkah laku dan tutur kata yang lemah lembut serta bersopan. Sentiasalah berdoa untuk kesejahteraan ibu bapa walaupun setelah mereka meninggal dunia.
Pada masa sama, belia juga berperanan menegakkan syiar agama Islam dengan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kerana amalan tersebut boleh menjadi benteng untuk menangkis segala gejala buruk dari merosakkan jiwa dan meracun minda yang akibatnya boleh merosakkan belia dan masa depan negara.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Hakikatnya, belia yang telah memenuhi tanggungjawab mereka adalah belia yang cemerlang dan menjadi harapan negara di masa depan. Mereka menjadi contoh dan ikutan yang baik untuk dituladani demi kecemerlangan ummah. Ketahuilah, belia yang sentiasa melakukan amal ibadat dengan tekun dan ikhlas dijanjikan dengan kedudukan yang tinggi serta tergolong ke dalam tujuh golongan yang mendapat perlindungan di hari kiamat ketika berada di padang Mahysar kelak.
Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang mafhumnya, terdapat tujuh golongan yang dilindungi oleh Allah s.w.t. pada hari kiamat kelak iaitu imam yang adil, dan pemuda yang hidup sejak kecil hingga matinya sentiasa beribadat kepada Allah s.w.t.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah, mimbar sekali lagi menyeru menyeru semua pihak terutama para belia sekalian, marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah s.w.t. sentiasa memberi taufik dan hidayah-Nya kepada kita semua, khususnya golongan belia agar dianugerahkan kepada mereka peribadi yang kukuh dan beriltizam ke arah membangun bangsa dan negara serta di atas landasan kebenaran dan keredhaan Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t.:
Maksudnya: “Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”
(Surah an-Nahl:97)
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“PEKERJA SEBAGAI EJEN PERUBAHAN ” (01 MEI 2009 / 06 JAMADIL AWWAL 1430)
Muslimin yang dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita diberkati di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah Jumaat pada hari ini ialah: “PEKERJA SEBAGAI EJEN PERUBAHAN”.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Pekerja atau buruh ialah seseorang yang bekerja dengan menerima upah atau ganjaran dalam pelbagai bentuk. Sama ada ganjaran itu tinggi atau rendah, berpangkat atau tidak, hakikatnya kita adalah pekerja. Kita bekerja berdasarkan matlamat yang sangat penting iaitu membawa perubahan daripada negatif kepada positif, lemah kepada kuat, mundur kepada maju, dan terbaik kepada cemerlang. Persoalan besar timbul ialah bagaimanakah cara kita untuk membawa perubahan menuju kecemerlangan ini?. Kecemerlangan tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang gigih, tidak datang melayang tanpa tekad dan azam yang kuat. Justeru, kecemerlangan seluruh warga Malaysia umumnya, dan kakitangan awam dan swasta khususnya memerlukan cara tersendiri untuk mencapainya. Selari dengan ajaran Islam, Allah s.w.t. telah menegur umat manusia supaya berani membuat perubahan dalam semua aspek kehidupan. Sikap ini dikenalpasti memajukan lagi prestasi dan kualiti keinsanan seseorang.
Firman Allah s.w.t. dalam surah ar-Ra’d ayat 11:
Maksudnya: “Bagi setiap seorang ada malaikat penjaganya dari hadapan dan belakangnya, yang menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.”
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Sejarah telah membuktikan bahawa Nabi s.a.w. bukan saja menyampaikan risalah Islam semata-mata, bahkan baginda sendiri berusaha melakukan perubahan untuk maju melalui sektor pekerjaan. Baginda adalah contoh pekerja dan pengurus yang unggul berkeperibadian tinggi seperti bersifat jujur, amanah, taat, tekun, dedikasi, dan bijak ketika membantu perniagaan Abu Talib dan Khadijah sehingga memperoleh keuntungan yang berlipat ganda.
Seandainya Nabi s.a.w. melanggar etika kerja yang disyariatkan Islam seperti menipu, zalim dan menindas, maka sudah pasti dunia pekerjaan akan tercemar. Apa yang nyata, keperibadian mulia seorang pekerja dan majikan, hendaklah diberikan penanda aras paling tinggi dan utama. Ini kerana jika pekerja dan majikan bersifat amanah serta tidak menyalahguna pangkat atau kuasa dalam mentadbir; nescaya akan mendapat keredhaan Allah s.w.t., mendapat keberkatan rezeki, dipercayai oleh pekerja dan organisasi, serta membawa kemakmuran kepada organisasi.
Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang mafhumnya:
“Orang yang paling kecewa (rugi) pada hari kiamat kelak ialah orang yang mencari harta secara tidak halal lalu ia masuk ke neraka bersama-sama hartanya.”
Berdasarkan hadith tadi, maksud ‘secara tidak halal’ itu termasuklah mereka yang tidak amanah. Sifat amanah adalah pakaian khalifah Allah s.w.t.. Sebagai khalifah kita bertanggungjawab mengurus alam dan isinya supaya manfaat dan keberkatannya dapat dinikmati. Justeru, bagi memakmurkannya kualiti pengurusan dalam pelbagai aspek kehidupan sangat diperlukan. Kualiti tersebut adalah tuntutan bekerja secara profesional dan kemas melalui perancangan yang strategik dari sudut masa, wang, dan tenaga. Berteraskan nilai integriti, lima cabaran sentiasa mendepani organisasi yang cemerlang iaitu perubahan minda dan sikap yang mengejar kecemerlangan, etika yang luhur, pembangunan modal insan yang berilmu dan mahir, budaya kerja berasas prestasi, dan daya kepimpinan yang unggul.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Mimbar mengingatkan bahawa perubahan menuju hasanah (kebaikan) bermula dari dalam diri setiap individu. Ramai di kalangan kita selalu berdoa memohon kebaikan ini, tetapi doa tanpa usaha adalah angan-angan sahaja. Begitu juga usaha tanpa doa untuk mendapat keredhaan Allah atas usaha yang dilakukan akan membawa kepada sia-sia. Apa yang terbaik adalah gabungan antara doa dan usaha yang sempurna akan membawa kepada kejayaan yang diimpikan.
Allah s.w.t. telah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi.. Inilah antara maksud jihad yang dituntut oleh Islam. At-Tabrani meriwayatkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya:
“Mereka yang mencari harta dunia (kekayaan) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya dari meminta-minta (tidak menjadi pengemis) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam.”
Umumnya manusia yang berperibadi cemerlang berjaya menyempurnakan tugasnya berdasarkan kekayaan ilmu pengetahuan, penghayatan, dan pengamalan ilmunya, serta melaksanakan tugas yang sentiasa mencapai atau melepasi ukuran cemerlang. Mereka juga digambarkan melalui tingkah laku yang sentiasa berhemah, berbudi pekerti mulia, dan menerima tanggungjawab sebagai amanah.
Sebagai individu yang menjadi warga kepada organisasi, kita tidak dapat lari daripada menerima kesan daripada perubahan ini. Jika kita tidak cepat bertindak menyesuaikan diri dengan perubahan ini dikhuatiri kita tidak akan mampu menyampaikan perkhidmatan seperti yang dituntut oleh masyarakat luar yang telah berubah mengikut persekitaran. Bagi melahirkan organisasi yang gemilang, individu yang menggerakkan organisasi mestilah terlebih dahulu cemerlang.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Mimbar mengajak saudara dan jemaah sekalian, marilah kita muhasabah diri, sejauhmanakah kedudukan kita dalam dunia pekerjaan ini?. Adakah kita telah membawa perubahan kepada diri, keluarga, negara, organisasi dan kepentingan agama kita?. Dalam keadaan kemelestan ekonomi dunia sekarang, banyak pihak mengurangkan produk pengeluaran dan jumlah pekerja mereka. Namun kita sebagai penjawat awam atau swasta yang masih bekerja hendaklah bersyukur dan meneruskan usaha ke arah perkhidmatan cemerlang; bekerja dalam konteks amal soleh dan nilai-nilai murni bagi memastikan perubahan yang lebih positif terus dicapai.
Menyedari hakikat ini, mimbar menyeru semua golongan pekerja, sempena sambutan Hari Pekerja 2009 pada hari ini, marilah sama-sama kita menanam tekad dan azam menghayati tujuan bekerja menurut Islam. Tingkatkan usaha ke arah yang terbaik, sentiasa memperbaiki prestasi kerja, berusaha melaksanakan pelbagai tugas, mempunyai sifat-sifat positif terhadap diri dan pandangan pihak lain, bersedia menerima teguran, saling menghormati dan bertolak ansur, dan akhirnya peka kepada kehendak pelanggan serta perubahan persekitaran.
Firman Allah s.w.t. dalam surah at-Taubah ayat 105: Maksudnya: “ Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah s.w.t. dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah s.w.t. yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dab nyata. Kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” |