Wednesday, April 22, 2009

TAHNIAH

Tahniah kepada adik-adik AKIUM, teruskan usaha anda, berbakti pada yang tak bernasib baik... credit to faruqi


AKIUM berbakti di Aceh


deligasi AKIUM merakamkan kenangan bersama Wali Kota Lhoksumawe, Munir Osman (empat dari kanan) dan sebahagian penghuni Pondok Anak-anak Yatim Ar-Raudhah, Lhoksumawe, Aceh, Indonesia pada program Tautan Kasihku Aceh, baru-baru ini.


SELEPAS bertungkus-lumus dengan buku, kuliah serta memenuhi pelbagai tugasan rutin bergelar penuntut universiti yang begitu memenatkan, sembilan mahasiswa Angkatan Kejuruteraan Islam Universiti Malaya (AKIUM) 'berhijrah' dari kampus mereka bagi mempelajari suatu pengalaman yang berbeza.

Dengan ditemani pensyarah iaitu Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia, Prof. Madya Dr. Ezzat Chan Abdullah serta anak lelaki beliau, Arif Fahim, 17, mereka menyertai program 'Tautan Kasihku Aceh' anjuran AKIUM pada 7 hingga 11 Disember 2008.

Berlepas menaiki penerbangan AirAsia di Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang pukul 6 petang Ahad itu, perjalanan mereka memakan masa selama satu jam sebelum menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Banda Aceh.

Kemudian menggunakan pengangkutan darat perjalanan diteruskan selama lapan jam menggunakan bas yang disewa. Meskipun menempuh laluan yang panjang, kepenatan itu tidak terasa apabila dapat menyaksikan suasana kampung diselang seli dengan deretan banjaran yang terbentang luas dalam remang senja yang berlabuh. Senario yang amat jarang ditemui di tanah kelahiran mereka.

Akhirnya, destinasi yang dituju iaitu pondok anak-anak yatim Ar-Raudhah, Lhoksumawe, Aceh menyambut mereka dalam kepekatan pagi itu.

Hakikatnya, kedatangan mereka di bumi asing itu bukan percutian biasa yang bermatlamat mahu keluar daripada suasana hiruk-pikuk hidup di kota. Sebaliknya, kehadiran mereka sarat membawa misi suara muda yang mahu membantu meningkatkan motivasi si cilik yang sebatang kara di usia muda.

Di samping itu, program ini tujuan utama program ini adalah untuk menimbulkan kesedaran sosial di kalangan pelajar kejuruteraan kepada pelajar di mana ia sukar disampaikan di dalam kelas, sekali gus turut menguasai kemahiran asas (soft skills). Ia sejajar dengan falsafah universiti untuk melahirkan mahasiswa yang tidak sekadar cemerlang akademik tetapi mampu menguasai pelbagai kemahiran lain.

Melalui program seperti itu, kata Dr. Ezzat, pelajar didedahkan dengan kemahiran bergaul dengan masyarakat yang mungkin tidak dapat diperoleh semasa di dalam bilik kuliah.

"Sepanjang enam hari itu, pengisian program dimuatkan dengan pelbagai aktiviti terutamanya modul-modul yang berkaitan akademik dan motivasi. Kebetulan pula pada masa itu, kita sedang meraikan Hari Raya Aidiladha, jadi kami tutut melaksanakan ibadat korban.

"Sebanyak 33 ekor lembu dan 22 ekor kambing hasil sumbangan rakyat Malaysia dan warga UM disembelih. Daging yang siap dilapah diedarkan kepada penduduk sekitar," jelas Dr. Ezzat.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan yang diatur oleh kaunselor perhubungan awam Mae Public Relations, Datin Wan Norhiyati Ibrahim di Canselori Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Akui Dr. Ezzat lagi, jarang pelajar di UM ke luar negara untuk menyertai program-program sebegini dan ini adalah penglibatan pertama pelajar AKIUM.

Tidak hairanlah, katanya, apabila cadangan itu diutarakan kepada persatuan pelajar kejuruteraan mereka teruja dan nampak kesungguhan setiap pelajar merebut peluang memperoleh pengalaman baru ini.

kesungguhan

"Malah respons awal yang diterima memang menggalakkan, sehingga terpaksa dibuat temuduga untuk menyenarai pendekkan peserta yang memenuhi kriteria yang diperlukan.

"Apatah lagi dengan sumber kewangan yang terhad. Pun begitu, ia bukan halangan untuk meneruskan misi murni ini," jelas beliau.

Bagaimanapun, kata Dr. Ezzat, kesungguhan para pelajar ini membuat persediaan awal terutamanya dari segi undang-undang, mencari penaja serta persediaan modul menyebabkan beliau tidak bimbang.

"Cuma ada sedikit kekangan iaitu dari segi bahasa. Namun ia dapat diatasi. Antaranya mengubah sedikit modul yang sedia ada agar mereka lebih memahami. Ini kerana mereka ada bahasa atau dialek mereka sendiri iaitu bahasa Aceh," katanya.

Aceh dipilih kerana mahu para pelajar ini diberi pendedahan dunia luar dan kebetulan ada orang hubungan di rumah anak yatim itu.

Malah akui Dr. Ezzat, kehadiran Wali Kota Lhoksumawe, Munir Osman beserta para pegawainya dan tenaga pengajar pondok anak-anak yatim itu semasa upacara perasmian program adalah satu kejutan dan tidak beliau jangkakan.

Ini kerana wali kota ini setaraf dengan jawatan datuk bandar di negara kita.

Dalam pertemuan yang sama, Presiden AKIUM, Faruqi Razali, 22, pelajar tahun tiga Kejuruteraan Bioperubatan berkata, program sebegini sepatutnya menjadi perhatian kebanyakan persatuan mahasiswa khususnya dari Malaysia.

Sebabnya, ia mampu menimbulkan rasa prihatin individu yang terlibat terhadap golongan yang suasana kehidupannya serba kekurangan.

Di samping itu, program ini mampu memberi pengalaman baru dalam memasyarakatkan diri berbanding program-program yang bersifat copy-paste daripada program sebelumnya.

Kata Faruqi lagi, sepanjang enam hari program, anak-anak yatim di pondok itu kelihatan begitu bersemangat dan bertenaga dalam setiap penganjuran aktiviti dan pengisian.

Kepelbagaian pembawaan dalam modul juga membantu mereka menerima intipati pengisian yang cuba disampaikan.

Boleh dikatakan hampir setiap modul anak-anak yatim ini memberikan kerjasama, menghayati dan menitiskan air mata, waima modul tersebut tidak ada kaitan dengan soal emosi.

Malah hubungan antara mereka tidak terputus setakat enam hari itu sahaja, mereka masih terus menerima surat-surat daripada anak-anak yatim ini sebagai penyambung silaturahim.

Katanya, di kalangan anak-anak yatim ini, ada yang semuda enam tahun hingga 16 tahun. Seramai 50 penghuni pondok ini yang menempatkan anak yatim perempuan dan lelaki.

"Anak-anak yatim di Pondok Ar-Raudhah ini sebahagiannya adalah mangsa tsunami dan ada juga di antara mereka ini, ahli keluarga mereka terlibat dengan konflik dalaman Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dengan pemerintah Indonesia.

"Ini berbeza dengan kanak-kanak di Malaysia yang menjadi yatim akibat perceraian ibu bapa, kematian dan penyakit," jelasnya.

Harapan Faruqi agar program ini menjadi program tahunan AKIUM pada masa hadapan. Selain itu, turut dirancang ialah program kebajikan di Kemboja dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Selain Faruqi, mereka yang menyertai delegasi AKIUM ialah Muhammad Syazwan Huzlan, Mohamad Taufik Abdul Aziz, Mohd. Fahrul Razi Saidu, Nurul Adila Sapri, Shazliana Idris Shah, Norhaslan Shah Salleh, Noor Shafeqah Zamri dan Sharina Sulaiman.

2 comments:

faizsaaid said...

tahniah kepada yang boleh diucapkan tahniah

faraulah said...

Faiz,

memang satu usaha yang patut di puji..
mase akak undergrad dulu...student dari engineering susah sangat kalo diminta joint projek...sibuk study konon nya
hahaha..