Sunday, April 26, 2009

SELSEMA KHINZIR?


Artikel ini dipetik dari Blog Dr. Azuan. Info terkini untuk dikongsi bersama


Salam, 

Sejenis virus unik dipanggil Selsema Khinzir yang dijangka telah membunuh hampir 68 orang di Bandaraya Mexico mencetuskan panik di sana. Virus baru tersebut
 yang merupakan gabungan unsur genetik daripada khinzir, burung dan manusia tidak pernah dikenalpasti oleh mana-mana saintis sebelum ini. Walaupun 68 orang telah meninggal dunia dikaitkan dengan selsema khinzir ini, hanya 20 orang yang betul-betul disahkan meninggal dunia akibat virus ini. 

Kisah wabak ini yang menular di Mexico telah menyebabkan lebih 1000 orang jatuh sakit. Ini menyebabkan ramai orang mula memakai topeng muka dan kebanyakan tempat-tempat perkumpulan awam ditutup. 

Setakat ini belum ada vaksin yang dicipta bertindak spesifik terhadap virus selsema khinzir ini. Dan tidak dapat dipastikan bahawa vaksin-vaksin selsema yang ada serta vaksin selsema burung seperti tamiflu berkesan untuk memberi perlindungan terhadap selsema khinzir. 

Apa yang dikhuatiri, selsema khinzir ini jika tidak dikawal boleh merebak ke seluruh dunia dan menyebabkan pandemik di seluruh dunia seperti selsema burung. 

Kerajaan Mexico mengarahkan agar orang ramai cuba mengelakkan diri daripada ke Hospital kecuali jika terdapat kecemasan kerana hospital di sana adalah pusat penyebaran jangkitan. Orang ramai juga diarahkan agar mengelakkan daripada bersalam-salaman dan mencium pipi untuk mengurangkan jangkitan. Di lapangan terbang antarabangsa Mexico, para penumpang disoal siasat dan diperiksa untuk mengelakkan mana-mana penumpang yang dijangkiti menaiki kapal terbang dan akhirnya meyebarkan virus tersebut. 

Pakar wabak selsema dari Universiti Michigan, Dr. Arnold Monto berpendapat bahawa sebelum ini memang sudah wujud kes virus selsema khinzir di dalam badan manusia hasil dari hubungan terus di antara manusia dan khinzir. Menurutnya yang ini agak berbeza. 

Centre of Disease Control (CDC) di Amerika Syarikat berpendapat, terdapat kombinasi unit virus yang dijumpai ini kerana segmen genetiknya tidak pernah dijumpai pada mana-mana khinzir mahupun manusia. Virus ini mempunyai campuran segmen genetik daripada manusia, segmen virus selsema burung dari Utara Amerika dan virus khinzir dari Eropah, Asia dan Amerika Utara. 

Pada tahun 2003, wabak SARS telah melanda Asia dan Beijing telah menerima kesan yang teruk. Pada Mac 2008, Hong Kong pula mengalami nasib yang serupa. 

Virus yang baru ini dijangka boleh membunuh ramai manusia dan merebak dengan cepat kerana hibrid kombinasi genetiknya unik dan manusia masih belum boleh menghasilkan antibodi semulajadi untuk melawan virus ini dalam masa yang begitu singkat. 

Pada pendapat saya sendiri, kita bersyukur kerana Allah tidak menjadikan khinzir ini boleh terbang seperti burung. Di dalam kes selsema burung, burung yang terkena jangkitan boleh menyebarkan virus tersebut kepada manusia tanpa sempadan kerana kebolehan terbangnya. 

Yang boleh menyebabkan ia tersebar sekiranya kita mengimport khinzir-khinzir hidup dari luar negara, atau khinzir di Malaysia terkena virus selsema ini dan merebakkannya kepada manusia. 

Apapun, sekiranya khinzir terpaksa dibunuh, ini boleh menyebabkan harga daging lembu atau ayam akan meningkat kerana permintaan yang tinggi akibat penukaran gaya hidup pemakan khinzir kepada pemakan daging atau ayam. 



No comments: