Monday, December 1, 2008

Gadis Sunti



 
PUJIANTO Cahyo Widiyanto atau lebih dikenali dengan panggilan Syeikh Puji pada beberapa minggu lalu seakan-akan menjadi selebriti baru di Indonesia.

Publisiti mengenainya melebihi Amrozi dan dua rakannya yang baru-baru ini menjalani hukuman tembak kerana pembabitan mereka dalam pengeboman Bali pada 2002.

Apa tidaknya, hampir setiap hari cerita mengenai Syeikh Puji, pengusaha perniagaan kaligrafi itu tersiar di akhbar dan televisyen serta mengundang ulasan pelbagai tokoh, termasuk Naib Presiden Indonesia.

Semuanya kerana gara-gara dia menikahi isteri kedua, kanak-kanak kampung berusia 12 tahun, Ogos lalu.

Kanak-kanak itu, Lutfiana Ulfa masih belajar di sekolah menengah rendah atau jika mengikut usianya di Malaysia, baru saja memperoleh keputusan UPSR.

Namun menurut rancangan kiai itu, dia sudah bersedia melantik Ulfa menjadi pengurus besar sebuah syarikat miliknya..

Kisah Syeikh Puji, 43, pengetua Pondok Pesantren Miftahul Janah, di Jambu, Semarang, Jawa bertambah menggemparkan apabila dia meluahkan hasrat menikahi dua lagi kanak-kanak berusia tujuh dan sembilan tahun.

Isteri pertamanya, Ummi Hani berusia 26 tahun.

Kes pernikahan itu pada mulanya tidak diketahui umum sehinggalah anggota Parlimen konservatif Islam mula melobi supaya dewan meluluskan rang undang-undang antipornografi yang ditentang sebahagian masyarakat Indonesia, khususnya bukan Islam.

Rang undang berkenaan diluluskan Oktober lalu dengan sokongan ulama, termasuk yang membela Syeikh Puji.

Menurut undang-undang itu, semua pergerakan dan hasil seni termasuk sastera, muzik yang dianggap lucah dan boleh melanggar moral orang awam dianggap jenayah.

Berbalik kepada tindakan Syeikh Puji berkahwin dengan gadis bawah umur itu, terdapat sebahagian masyarakat Indonesia yang mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadapnya atas tuduhan mengadakan seks dengan kanak-kanak.

“Saya tidak tahu pernikahan saya menjadi kontroversi kerana saya tidak pernah menonton televisyen atau mem baca akhbar.

“Saya hanya tahu perkahwinan itu menjadi kontroversi apabila menerima panggilan daripada anggota Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, ” katanya kepada puluhan wartawan yang mengerumuni kediamannya sebaik berita mengenai pernikahannya dengan Ulfa tersebar.

Ketika bercakap dengan wartawan, tiba-tiba telefonnya berdering. Setelah melihat skrin, dia menekan tombol batal.

Yang mengejutkan wartawan, jutawan itu yang juga pengumpul kereta mewah keluaran baru dan memberi zakat sehingga 1.3 bilion rupiah (RM374,000) ialah telefon bimbitnya, Nokia Siri 1112 yang harganya kini tidak sampai RM80.

Bagi mereka, ia sangat aneh bagi seorang jutawan sepertinya. Model telefon itu tidak mempunyai kemudahan lain, kecuali untuk telefon dan SMS.

Namun, kemewahan hidupnya jelas dapat dilihat di sekitar pesantren berkenaan.

Beberapa kereta mewah tersusun di bangunan yang mirip bilik pameran.

Terdapat enam kereta mewah, termasuk BMW dan sebuah kereta sport.

Menurut seorang lelaki di kompleks pesantren berkenaan, kereta itu jarang dipakai.

Di bangunan lain, kelihatan beberapa kereta mewah lagi. Rata-ratanya memiliki nombor pendaftaran unik seperti H 1 CW, H1 MP, H 1 BK dan H 1 OP.

Kompleks pesantrennya juga sangat luas. Ada beberapa bangunan. Satunya ialah tempat tinggal Syeikh Puji.

Barang-barang di dalamnya pula kelihatan tidak sangat mewah. Hanya terdapat beberapa gambar dia, termasuk ketika bertemu Tien Suharto (balu bekas Presiden Suharto) Suharto dan Try Sutrisno.

Selain bangunan itu, ada bangunan asrama pelajar lelaki dan juga wanita yang berasingan.

“Saya bukan menikah secara bersembunyi. Ramai yang menjadi saksi. Kalau ada yang mahu mencetuskan masalah dengan pernikahan ini, silakan saja. Saya tidak takut. Sedangkan berdepan dengan harimau pun saya tidak gentar.

“Tidak ada yang salah dengan pernikahan ini. Saya sudah meminta kebenaran daripada orang tuanya.

“Saya juga sudah berbincang dengan Ulfa secara baik dan dia bersetuju dinikahi. Silakan saja kalau ada yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap saya,” tegas Syeikh Puji tanpa rasa bersalah sedikitpun.

Setelah bernikah, keluarga Ulfa, yang dikatakan miskin, dibawa tinggal di pondok pesantren Syeikh Puji di Desa Bedono, Jambu, Semarang.

Menurut jutawan itu, tindakannya berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur bukan dilakukan membabi- buta.

Katanya, perkahwinannya dengan Ulfa dan rancangan untuk mengahwini dua lagi kanak-kanak adalah berlandaskan pada agama.

“Saya hanya mengikuti ajaran Rasulullah (SAW) yang menikahi Aisyah yang ketika itu berusia tujuh tahun.

Dan seperti Rasulullah, saya juga tidak akan ‘mencampuri’ isteri saya yang belum akil baligh,” katanya.

Menurut kiai jutawan itu, Ulfa bagaimanapun sudah akil baligh.

Dia mengaku melangsungkan perkahwinan dengan kanak-kanak itu pada 8 Ogos lalu jam 3.03 pagi dan mendakwa disaksikan beribu-ribu orang.

Baginya, itulah waktu paling mustajab untuk melangsungkan perkahwinan.

Pernikahannya dengan isteri pertamanya, Ummi Hani juga berlangsung pada dini hari, iaitu jam 2.53 pagi.

Bagaimanapun, dia enggan memberitahu tarikh pernikahan itu.

Dalam pada itu, wakil pihak berkuasa yang bertanggungjawab menyiasat kes perkahwinan itu, Kak Seto, mengesahkan, hasil pertemuannya dengan Ulfa mengesahkan kanak-kanak itu secara sukarela menjadi isteri Syeikh Puji.

“Tidak ada paksaan. Ulfa sendiri mengaku dia yang membuat keputusan untuk berkahwin setelah ibu bapanya menyerahkan kepadanya untuk membuat keputusan,” kata Kak Seto.

Menurutnya, Ulfa mengenali Syeikh Puji ketika berkunjung ke pesantrennya.

“Kami berbual dan Syeikh Puji meluahkan keinginan untuk menjadikan saya isterinya.

“Lalu saya menanyakan kepada orang tua saya. Mereka menyerahkan kepada saya untuk membuat keputusan,” kata Ulfa yang diceritakan semula oleh Kak Seto.

Menurutnya, kerana liputan meluas media, Ulfa berkata, dia cukup tertekan.

Dan hasil tekanan pelbagai pihak termasuk Menteri Agama yang mendesak supaya Syeikh Puji disiasat, kiai itu akhirnya bersetuju menyerahkan semula Ulfa kepada orang tuanya, 9 November lalu.

Namun, bagi anggota kanan Majlis Ulama Indonesia, Syarifuddin Abdul Gani, Syeikh Puji tidak melakukan kesalahan.

“Dia tidak melanggar sebarang undang-undang Islam. Perkahwinan itu masih sah,” katanya. — Agensi


1 comment:

Anonymous said...

huih..menariknye berita ni.. saya baru tau.. citer la lagi pasal ni ek.. cam best je.. malas sy nak carik.haha