Monday, November 24, 2008

7 Tanda anda akan GAGAL di Universiti

By *Osman Affan

Percaya atau tidak, 6 tanda pertama yang telah saya terangkan di dalam siri ‘7 tanda anda akan gagal di universiti’ ini bermula dengan tanda ketujuh ini. Mahasiswa dan mahasiswi yang tidak pernah fikirkan dengan teliti tentang apa yang mereka mahu lakukan dan capai dalam hidup akan

Susah tidur malam dan susah hendak bangun pagi.
Takut salah lalu tidak mahu mencuba.
Tidak bawa payung hujan dipersalahkan.
Bawah tempurung lebih selesa daripada padang yang luas.
Sanggup berkawan dengan orang tidak mandi pagi.
Tidak berani jadi berbeza.

Saya beri contoh tentang fenomena tidak suka menghadiri kursus atau bengkel di kalangan pelajar. Boleh saya katakan hampir semua universiti yang saya pernah hadiri mengalami masalah ini. Masalahnya ialah jika program motivasi dan teknik belajar dijalankan untuk pelajar yang mendapat CGPA rendah, kadar kehadiran juga selalu rendah. Walaupun mereka diberi amaran tindakan keras akan diambil jika mereka tidak hadir, mereka tetap tidak hadir. Jelas menunjukkan mereka belum terfikir tentang bagaimana bengkel dan program sebegini boleh membantu mereka. Jelas mereka sedang memanah di dalam gelap. Itulah sebabnya tidur di dalam bilik lebih kuat pengaruhnya kepada mereka berbanding kemungkinan diambil tindakan atau kemungkin mereka akan pelajari sesuatu yang berguna.

Pelajar yang memanah di dalam gelap akan sentiasa diselubungi kegelapan. Mereka jauh berbeza dengan pelajar berjaya yang bukan sahaja tekun dalam belajar malah mereka seolah-olah telah tahu dengan jelas apa yang mereka mahu lakukan setelah tamat belajar. Ada dua tips pantas untuk memanah di dalam terang dan dengan mata yang terbuka. Walaupun ini tips pantas, ia akan memakan masa yang agak panjang. 2 tips itu ialah

Baca buku-buku pembangunan diri sebanyak mungkin.
Hadiri kursus, seminar dan bengkel yang boleh meningkatkan pembangunan diri dan meningkatkan tahap penguasaan kemahiran-kemahiran asas yang diperlukan suatu hari nanti.
Minggu ini, apa kata anda cari masa terluang selama 1 jam. Ambil beberapa keping kertas dan senaraikan 3 perkara.

Pertama, siapakah orang-orang yang sangat penting dalam hidup anda dan mengapa?
Kedua, senaraikan apa sahaja yang anda hendak capai sebelum anda meninggal dunia termasuk sesuatu yang anda mahu lakukan kepada orang-orang yang sangat penting kepada anda.
Ketiga, buka mata dan minda mulai sekarang untuk mencari jalan dan semua kemahiran yang anda perlukan untuk mencapai semua perkara yang telah anda senaraikan.
Saya percaya, jika anda dapat cari masa dan lakukan perkara ini, suasana disekitar anda akan menjadi lebih cerah. Mata anda akan mula terbuka. Perlahan-lahan anda akan mula dapat lihat jalan yang anda cari selama ini.

Selamat memanah di dalam terang dengan mata yang terbuka!



*http://www.osmanaffan.com/kenali.htm

No comments: