Friday, November 28, 2008

Kacang Lupakan Kulit..

Anak pegawai, ibu pengemis

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my

KANGAR: Seorang anggota kerajaan kumpulan A dipercayai tidak memperdulikan nasib kedua ibu bapanya, malah paling menyedihkan membiarkan kedua orang tuanya itu mengemis.

Pasangan warga emas dari Kodiang, Kedah itu dikesan mengemis di pasar malam di sini, sebelum ditahan anggota penguatkuasa Jabatan Kebajikan Masyuarakat (JKM) Perlis dalam ‘Ops Menyelamat’, malam kelmarin.

Timbalan Pengarah JKM negeri, Mastura Abdul Rahim, berkata pihaknya sedih mendapati anak pasangan warga emas ini berjawatan tinggi tetapi tidak memperdulikan nasib ibu bapa mereka dan membiarkan mengemis menagih simpati orang ramai.

“Pasangan warga emas berusia 60-an itu dari Kodiang, Kedah, ditahan sedang mengemis di pasar malam berhampiran Stadium Utama Negeri, jam 8.45 malam.

“Pasangan terbabit turut menerima bantuan bulanan daripada JKM daerah Kubang Pasu tetapi tetap mengemis,” katanya dalam sidang media selepas mengetuai operasi itu di Ibu Pejabat JKM.

Seramai sembilan pengemis dan kutu rayau ditahan dalam operasi selama tiga jam bermula jam 8.30 malam, membabitkan 40 anggota daripada enam agensi penguatkuasa.

Turut ditahan dua warga emas dari Thailand yang masuk ke negara ini untuk tujuan mengemis. Kegiatan ‘pengemis antarabangsa’ itu dipercayai didalangi sindiket tempatan.

Mastura berkata, sembilan pengemis iaitu lima lelaki dan empat wanita, termasuk pasangan warga emas yang mempunyai anak yang bekerja sebagai pegawai kerajaan dalam kumpulan A itu ditahan dalam operasi khas di sekitar bandar ini.

Menurutnya, selain memberi khidmat kaunseling kepada pengemis terbabit, pihaknya mengadakan perjumpaan dengan waris masing-masing bagi mendapat gambaran sebenar berhubung tindakan mereka.

Katanya, selain anggota penguatkuasa JKM, Ops Menyelamat itu turut disertai polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Dalam operasi terbabit, pihaknya menahan dua warga emas dari Thailand yang sedang mengemis.

Menurutnya, dua warga Thailand itu menggunakan pas lawatan sosial untuk masuk dan mengemis di pasar malam di sini. Perbuatan mereka dipercayai didalangi warga tempatan.

“Mengikut rekod, mereka kerap masuk ke sini untuk tujuan mengemis, mampu untuk memperoleh pendapatan sehingga RM50 dalam tempoh beberapa jam saja,” katanya.

1 comment:

Mohd Naim said...

saya rasa tajuk tu tak tepat la..

mana tahu si anak itu lupakan ibunya ?

lagipun si ibu juga mendapat bantuan dari JKM, bukanya xada duit langsung nak makan..tapi saya berpendapat pengemis itu yg bersalah...

sudahlah dapat bantuan dari JKM, masih nak mengemis lagi..sengaja memanipulasikan sikap kasihan org ramai...

org mcm ini patut dihukum...potong separuh bantuan dari JKM sekurang2nya 3 bulan ke...


pengemis nie lagi kaya dari kita yg kerja makan gaji nie...